(MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH) Sejarah Melaka bermula dengan
pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari
Palembang, keturunan majapahit, pada tahun antara 1400 hingga 1403.Parameswara
adalah keturunan Raden Wijaya, raja pertama dan pengasas Kerajaan
Majapahit (1293-1309)yang menikahi Sri Gayatri Rajapatni, puteri dari Sri
Kertanegara, raja terakhir (1268-1292) Kerajaan Singhasari, yang kemudian
memiliki Puteri Tribuana Tunggadewi, pemimpin ketiga (1326-1350) Kerajaan
Majapahit. Beliau menikahi Kertawardana, dan memiliki Puteri Iswari. Si puteri
kemudian menikahi Singawardana, dan memiliki Putri Sarawardani. Kemudian ia
menikahi Ranamenggala, dan memiliki anak bernama Parameswara yang lahir di
tahun 1344 pada saat neneknya, Ratu Tribuana Tunggadewi, memerintah Majapahit.
Mengikut riwayat Sejarah Melayu, Parameswara merupakan putera
raja Palembang kurun ke empat-belas yang melarikan diri dari musuhnya iaitu
orang-orang Jawa. Baginda telah melarikan diri ke Temasik (sekarang dikenali
sebagai Singapura) dan menjadikan dirinya sebagai raja. Tidak lama kemudian,
baginda dihalau dari Temasik oleh penjajah dari Siam dan dengan
pengikut-pengikutnya sampai ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk
mencari tempat untuk berselindung. Pada mulanya mereka menjadikan Muar, Johor
sebagai tempat untuk bermastautin tetapi keadaannya tidak sesuai kerana
terdapat terlalu banyak biawak. Baginda kemudian memilih tempat kedua untuk
membina istana tetapi ianya tidak berkekalan.
Parameswara kemudian menjelajah ke tempat lain. Dalam satu
rombongan memburu, baginda sampai ke sebuah sungai bernama Bertam. Di sana,
beliau terlihat seekor kancil yang dikejar oleh anjing-anjing pemburu baginda
telah menendang salah seekor daripada anjingnya jatuh ke dalam sungai. Baginda
amat terkejut dengan keberanian kancil tersebut dan dengan serta-merta
menamakan tempat tersebut dengan nama Melaka, sempena dengan nama pokok di mana
baginda sedang berteduh. Kesultanan Melaka ini memerintah Melaka selama 110
tahun sehingga ditewas oleh pihak Portugis pada tahun 1511.
Melaka ditawan oleh Alfonso de Albuquerque, seorang Wizurai
Portugis pada 24 Ogos 1511 dan menjadikannya suatu pangkalan strategik bagi
pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur. Sultan Mahmud Shah, Sultan
terakhir Melaka, melarikan diri ke daerah pedalaman dan menyebabkan kesukaran
kepada pihak Portugis dengan serangan sekejap-sekejap dari tanah daratan dan
laut. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro
Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang
melindungi Sultan Mahmud. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat
Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat dua tahun kemudian. St.
Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit, tinggal di Melaka selama beberapa
bulan pada tahun 1545, 1546 dan 1549 kerana hendak menjadikan Melaka sebagai
pusat operasinya di Timur.Pada tahun 1641, pihak Belanda menakluk Melaka dengan
penewasan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Walaubagaimanapun, pihak
Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di
antara Timur dan Barat tetapi mereka lebih mementingkan pembangunan Batavia
(Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka.
Pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut
Perjanjian British-Belanda pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka
diperintah oleh Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company), dan
kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Ia menjadi sebahagian
Petempatan Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau
Pinang pada tahun 1946. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau
Pinang menjadi sebahagian Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia.
0 comments:
Post a Comment